Sejarah

SEJARAH PEMBUKAAN DAN PEMBANGUNAN

KAMPUNG LIANG BATU , 84040 LENGA, MUAR

JOHOR DARUL TAKZIM

 Bahawa Kampung Liang Batu ini terletak di tepi sungai Muar, dua puluh lima batu atau empat puluh kilometer daripada Bandar Maharani, Muar.

Alkisahnya dengan cerita orang-orang tua seperti Allahyarham Pak Hitam Dahlan Bin Fakih, Tn. Hj. Abdul Hamid, Allahyarham Tn. Hj. Salleh Bin Idris, Allahyarham Tn. Hj. Harun Bin Alam.

Bahawa mereka ini mendengar cerita-cerita daripada orang-orang tua dahulu dan bersambung ke atas tetapi tidak dapat diketahui nama-nama mereka itu dan nama-nama orang yang asal membuka Kampung Liang Batu ini dan bilakah tarikhnya dibuka tidak jua dapat diketahui.

Cuma dikatakan dibuka Kampung Liang Batu ini dahulu daripada pemerintahan Raja Pengkalan Kota, Leban Chondong ( Durian Chondong), Mukim Gersik, Muar, Johor.

Diceritakan asal nama Kampung Liang Batu ini bermula daripada air mengalir daripada sebatang liang ( terowong ) yang panjangnya setengah batu dan besarnya lebih kurang tiga kaki. Mengalir air ini daripada pertengahan sungai Liang Batu ke sungai Muar iaitu pada masa itu kuala sungai Liang Batu masih belum jadi lagi.

Liang ini membelok ke kiri tepi sungai Muar lebih kurang suku batu. Sekarang Liang ini telah mendap tetapi masih ada lagi sedikit kesannya dan separuhnya sudah terputus.

Turunnya air liang ini ke sungai Muar bertentangan dengan batu besar di dalam sungai Muar. Di dapati di dalam Sungai Muar ini ada batu besar melintang separuh sungai Muar ini dan lebarnya lebih kurang sepuluh kaki. Batu ini hidup serta keras dan pejal. Warnanya hijau tua kebiru-biruan. Pada masa dahulu, jika air pasang besar dan penuh pun batu ini masih timbul juga.

Tetapi semenjak tahun 1914, batu ini telah dipecahkan oleh orang Inggeris dengan menggunakan torpedo iaitu alat letupan pemecah batu. Batu ini telah runtuh kemudian naik semula dan runtuh lagi dan begitulah seterusnya sehingga hari ini. Tetapi naiknya tidak setinggi dahulu. Batu ini sekarang cuma sedikit yang timbul. Pada masa air surut sahaja baru boleh nampak sedikit.

Maka dengan mengambil sempena dua kejadian inilah terbentuknya nama kampung Liang Batu ini iaitu rangkaian liang dan batu. Pada zaman pemerintahan Raja Pengkalan Kota, penduduk Kampung Liang Batu berpindah ke dalam hutan sejauh sembilan daripada kampung Liang Batu kerana mereka takutkan askar Raja Pengkalan Kota. Cuma tinggal seorang lelaki menjadi pengawal kampung.

Seterusnya mereka bercucuk tanam makanan seperti padi huma, ubi kayu, keledek, pisang dan banyak lagi. Kemudian bertanam pokok-pokok buah-buahan di dusun-dusun seperti durian, manggis, duku, langsat, petai, jering dan banyak lagi.

Kampung ini dinamakan Dusun Besar. Kedudukan dusun ini berhampiran dengan Estet Batu 22 Jalan Muar, Lenga,  Bukit kepong. Apabila Raja Pengkalan Kota tiada lagi, baharulah penduduk Dusun Besar ini balik semula ke Kampung Liang Batu.

Lebih kurang pada tahun 1850, Kampung Liang Batu ini diketuai oleh seorang lelaki bergelar menteri yang bernama Sulaiman. Beliaulah yang menjalankan segala urusan pentadbiran sehingga meninggal dunia pada tahunn 1920 an.

Lebih kurang pada tahun 1900, penduduk Kampung Liang Batu mendirikan sebuah masjid daripada kayu-kayu bulat sahaja, beratapkan atap daun rumbia, berlantaikan buluh, berdindingkan kulit kayu hutan. Apabila masjid ini sudah uzur, digantikan pula dengan masjid yang baru. Dua kali mereka mendirikan masjid itu menggunakan bahan-bahan yang sama dan di tapak yang sama dengan masjid-masjid sebelumnya.

Pada masa itu, ahli jemaah seramai 14 orang lelaki yang akil baligh tetapi tidak dapat dapat diketahui berapa ramaikah penduduknya kampung ini.  Imam masjid ini yang pertama ialah Hassan bin Donan. Imam yang ke dua  Lebai Tadin bin Rimbun.

Pada tahun 1910, dibuka lagi satu kampung sebelah atas Kampung Liang Batu iaitu dinamakan Paya Ronggang mengambil sempena nama paya dan pokok kayu, ronggang banyak tumbuh ditempat ini. Kampung Paya Ronggang ini jadi kampung kembar Kampung Liang Batu. Ketua Penerokaannya ialah Allahyarham Nantri Sulaiman.

Pada tahun 1910, Kampong Liang Batu ini diketuai pula Allahyarham

Penghulu Tuan Haji Ibrahim bin Faqih Tuan Haji Abdul Hamid sehingga bersara pada tahun 1948 , dan Ketua Kampongnya Allahyarham Uyub bin Idrus.Pada tahun 1941 , zaman perang dunia kedua atau zaman pemerintahahn Jepun , penduduk Kampong Liang Batu melarikan diri ke dalam hutan Tanjung Sialang sebelah Hulu Kampong Liang Batu kerana takutkan askar Jepun dan seterusnya meneroka hutan ini dengan bercucuk tanam makanan seperti padi huma,ubi,keledek,pisang,nenes,sayur-sayuran dan banyak lagi.

Makanan inilah melepaskan daripada kelaparan dan kebuluran kerana pada masa itu tiada barangan makanan daripada luar seperti beras , tepung gandum , gula pasir , dan sebagainya.Cuma sedikit garam di bawa masuk ke Kampong dan Pekan dengan cara seledup kerana garam ini barangan larangan.Jepun tidak membenarkan orang-orang membawanya masuk ke Pekan-pekan dan Kampong.Barang siapa dijumpai Askar Jepun membawa garam 10 kati ke atas di hukum bunuh.

Ketua Penerokaannya ialah Allahyarham Penghulu Tuan Haji Ibrahim Bin Faqih Haji Abdul Hamid.Tempat ini dinamakan Kampung Tanjung Sialang kerana letaknnya di tanjung yang luas dan binatang lebah banyak bersarang pada pohon kayu besar yang tumbuh disini .Oleh sebab banyaknya , sarang-sarang lebah ini digelarkan Sialang iaitu sempena Tanjung dan Sialang.Kampong ini dinamakan Kampong Tanjung Sialang.Kampong ini jadi kampong kembar yang kedua kepada Kampong Liang Batu dan sekarang telah banyak rumah dan ramai penduduknya.

Mulai awal tahun 1947 , Kampong Tanjung Sialang telah mula dijadikan kebun getah dan kebun rumbia dan pada tahun 1990 ada pula yang telah menukar tanaman Kelapa Sawit.